Pelaburan asing merupakan salah satu
sumber utama bagi pembangunan negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing
menyebabkan pendapatan negara meningkat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada
penduduk dan meningkatkan kemajuan dalam aktiviti ekonomi. Oleh itu, kerajaan
telah menjalankan pelbagai langkah bagi menggalakkan pelaburan asing di negara
ini.
Teknologi muktahir merupakan salah satu
sumbangan pelaburan asing ke Malaysia. Hal ini demikian kerana, pelaburan asing
membolehkan pemindahan teknologi moden ke negara ini. Malaysia masih kekurangan
sumber kewangan untuk membiayai projek-projek latihan dan penyelidikan demi
mencapai teknologi moden. Masalah ini merupakan satu penghalang yang menyekat
kemajuan sektor perindustrian. Pelabur- pelabur asing akan membawa bersama
teknologi dan sistem pengurusan moden serta tenaga profesional yang pakar dan
produktif. Mereka juga akan melaksanakan pelbagai program untuk melatih buruh
tempatan demi mengembangkan pengetahuan kepakaran agar pekerja-pekerja tempatan
dapat diserapkan ke dalam projek pelaburan mereka. Contohnya, projek
mencarigali minyak di Terengganu.
Selain itu,
pendapatan negara akan bertambah dengan adanya kemasukan pelaburan asing
ini.Hal ini kerana, pengaliran wang ke luar negera akan berkurangan kerana
banyak barangan import telah digantikan dengan barangan tempatan. Sebelum ini,
kebanyakan bahan mentah dieksport ke negara-negara maju dengan harga yang
rendah. Kemudian bahan mentah ini diproses menjadi barangan siap dan dijual
semula semula ke negara ini dengan harga yang lebih tinggi. Kemasukan pelaburan
asing membolehkan banyak modal dan kepakaran disalurkan ke kilang-kilang
perusahaan tempatan. Bahan-bahan tempatan boleh diproses oleh kilang-kilang di
negara ini. Dengan cara ini, harga dan penggunaan bahan mentah tempatan lebih
terjamin.
Antara usaha
yang dijalankan oleh kerajaan untuk menarik pelabur asing ialah dengan
mengadakan skim galakan kepada pelabur asing. Ini merupakan daya tarikan yang
mustahak untuk menggalakkan pelaburan asing. Pihak kerajaan memberikan taraf
perintis untuk membolehkan syarikat-syarikat asing yang baru menikmati
kemudahan pengecualian cukai, di samping melanjutkan tempoh pengecualian cukai untuk
syarikat- syarikat asing yang sedia ada. Dalam usaha menambahkan modal asing,
pihak kerajaan juga harus melonggarkan peraturan pelaburan dengan membenarkan
rakyat asing memiliki ekuiti yang lebih besar sehingga 100% dalam sesuatu
projek. Keistimewaan ini dapat menarik para pelabur asing untuk melabur di
Malaysia. Malaysia juga mengamalkan dasar pertukaran wang asing yang liberal.
Pelabur-pelabur asing dibenarkan membawa keluar segala keuntungan dan pulangan
modal. Ini satu-satunya insentif negara yang dihargai oleh pelabur asing.
Di samping
itu,kerajaan juga boleh memperbanyakkan program rombongan penggalakan pelaburan
ke luar negara. Penghantaran rombongan penggalakan pelaburan ke luar negara
adalah langkah yang wajar untuk menarik kemasukan pelaburan asing. Sejak bulan
Mei 1987, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri telah mengetuai banyak
rombongan penggalakan ke luar negera. Untuk menyedarkan pelabur asing mengenai
potensi pelaburan di Malaysia melalui seminar pelaburan, mesyuarat serta laporan
media massa. Maklumat pelaburan untuk pelabur asing juga disampaikan menerusi
pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia di luar negeri dan kedutaan
asing. Langkah ini dapat memberi penjelasan mengenai dasar-dasar baru kerajaan
dan galakan serta peluang pelaburan kepada bakal pelabur asing. Jelaslah,ini
akan menimbulkan minat di kalangan pengusaha asing dan memandang Malaysia
sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menguntungkan.
Justeru,kemasukan
pelabur asing ke negara kita telah memberikan pelbagai impak yang positif. Peranan pihak kerajaan dalam menggalakkan pelaburan asing di negara kita amat
penting dalam menjana pembangunan ekonomi negara kita. Dengan adanya kemasukan
pelaburan asing ini kita juga dapat mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara.