Ahad, 27 Oktober 2013

PENDERAAN KANAK-KANAK



   Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.
      

     Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.

      Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.

     Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
    

   Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.

     Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.


     Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.
 

     Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

     Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

FAKTOR YANG MERANGSANG PERKEMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN



Sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan terpenting di negara kita. Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri pelancongan tersebut.

     Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

    Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

     Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

     Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

     Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

     Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

     Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

FAEDAH MENGUTAMAKAN BARANGAN BUATAN TEMPATAN



SOALAN:

Sikap mengutamakan barangan buatan tempatan banyak memberikan manfaat kepada rakyat. Dengan berdasarkan hakikat ini, tulis rencana yang menyentuh pelbagai manfaat amalan tersebut kepada rakyat dan negara ini.
 
    Kejatuhan nilai ringgit sejak bulan Julai 1997 yang Ialu telah menjerumuskan Malaysia dalam kancah kegawatan ekonomi yang agak teruk. Nilai ringgit yang pada suatu ketika dahulu hanya sekitar RM2.50 bagi setiap AS$1.00 kini mencecah angka RM3.80 bagi setiap AS$1.00. Keadaan sebegini memberikan impak yang buruk kepada ekonomi negara. Harga barang semakin meningkat, manakala harga saham semakin menjunam hingga menyebabkan banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar. Sebagai akibatnya, ribuan pekerja menjadi penganggur.

    Untuk berdepan dengan situasi begini, pelbagai langkah perlu diambil. Salah satu caranya ialah mengamalkan sikap berjimat cermat. Setiap rakyat Malaysia daripada segenap lapisan perlu mempraktikkan amalan berjimat dalam perbelanjaan harian mereka. Jika selama ini sikap terlalu mengagung-agungkan barangan luar negara begitu ketara, kini tibalah masanya mereka memartabatkan barangan buatan tempatan. Dengan kata-kata lain, rakyat Malaysia perlu mengubah persepsinya terhadap barangan buatan tempatan.

    Tak kenal maka tak cinta. Sebenarnya, banyak manfaatnya mengutamakan barangan buatan tempatan ini. Dari segi harga, temyata bahawa barangan buatan tempatan lebih murah jika dibandingkan dengan harga barangan import. Hal ini dapat dibuktikan dengan harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss. Harga motosikal tersebut, yang berkuasa kuda 110 ialah sekitar RM4500.00 sebuah. Sebaliknya harga sebuah motosikal buatan Jepun yang mempunyai kuasa kuda yang sama melebihi RM5000.00. Hal ini bermakna bahawa dengan membeli barangan buatan tempatan, seseorang itu dapat menjimatkan perbelanjaan untuk memiliki barangan yang sama.

    Selain harganya murah, kualiti barangan buatan tempatan setanding juga dengan kualiti barangan import, malah ada yang lebih baik mutunya sehingga menarik minat pelancong asing dan pelbagai pihak di luar negeri. Barangan daripada kulit, seperti kasut, beg, dompet, dan sebagainya mendapat tempat yang istimewa di hati para pelancong dan para pengimport luar negeri. Kasut Bata keluaran Malaysia, misalnya, pernah mengalahkan kasut buatan negara lain dalam suatu pertandingan kualiti kasut dalam satu pesta antarabangsa di ltali. Lebih daripada itu, Malaysia adalah antara pengeluar alat pendingin hawa yang terbaik di dunia dan diberikan pengiktirafan oleh banyak badan standard kualiti antarabangsa. Jika orang luar memandang tinggi terhadap barangan buatan tempatan, sepatutnya rakyat Malaysia lebih menghargai dan mengiktirafnya.

   Dengan membeli barangan buatan tempatan, rakyat Malaysia dapat juga membantu perkembangan industri setempat. Sambutan yang diberikan terhadap sesuatu barangan tempatan akan memungkinkan syarikat tersebut meluaskan pasarannya sehingga ke luar negeri. Keadaan ini akan meningkatkan kemakmuran negara dan sekali gus akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia juga. Sambutan yang diberikan terhadap kereta Proton, misalnya, telah memungkinkan pengeluarnya memasarkan kenderaan tersebut hingga ke Britain, Filipina, Singapura, Brunei dan negara-negara lain.

   Perkembangan industri tempatan akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat setempat. Apabila barangan buatan tempatan mendapat sambutan, maka pengeluaran atau produktivitnya tentulah meningkat. Industri akan bertambah maju dan secara tidak langsung keadaan ini akan mengurangkan kadar pengangguran yang dihadapi negara. Sedikit banyak perkembangan ini dapat mengurangkan masalah sosial yang berpunca daripada masalah pengangguran. Di samping itu, perkembangan yang sihat ini dapat juga membantu rakyat Malaysia menikmati pelbagai prasarana yang diperlukan.

   Manfaat yang lebih penting daripada amalan membeli barangan buatan tempatan, khususnya dalam keadaan ekonomi yang muram sekarang, ialah tindakan itu dapat membantu negara mengurangkan kesan kegawatan ekonomi. Hal ini demikian kerana, amalan ini dapat menyekat pengaliran keluar mata wang tempatan dan mengurangkan import. Sebagai hasilnya, nilai ringgit dapat distabilkan daripada kedudukannya sekarang.

   Dengan nilai ringgit yang rendah, harga barangan import sekarang secara relatif menjadi lebih mahal daripada harganya dahulu. Keadaan tersebut sudah tentulah meningkatkan perbelanjaan harian rakyat Malaysia. Untuk berdepan dengan situasi itu, alternatif yang terbaik yang sepatutnya diamalkan oleh rakyat Malaysia sejak dahulu lagi ialah memberikan sokongan terhadap barangan tempatan. Berikanlah kerjasama terhadap kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang melanda negara. Barangan buatan Malaysia kebanggaan kita bersama.

KARANGAN : FAKTOR YANG MENYEBABKAN KES RAGUT MENJADI LEBIH SERIUS



    Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

   Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

   Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

   Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

   Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

   Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.


KARANGAN : KELEBIHAN PENGANGKUTAN AWAM



    Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda telah menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara drastik.  Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan.  Pada zaman yang serba canggih ini, sistem pengangkutan moden kian mempengaruhi kehidupan masyarakat.  Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh, didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad dalam sistem perhubungan di darat malah di udara juga di laut.  Apakah kepentingan pengangkutan awam kepada pengguna dan persekitaran negara kita?  Antara tamsilan pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh pengguna ialah bas, teksi, LRT, monorel dan kapal terbang.  Umum mengetahui bahawa bas awam merupakan kemudahan awam yang paling meluas digunakan di seluruh negara termasuklah di bandar dan di kawasan pedalaman.  Oleh itu, kelebihan-kelebihan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.


  Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada semua.  Bertitik tolak daripada itu, dengan menggunakan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan.  Sebagai contohnya, jika dahulu  perjalanan  ke   Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari  ini   anda   boleh menikmati kopi panas dan membaca buku  kegemaran  anda dengan  menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak kenderaan.    Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas.  Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.


  Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu menggunakan pengangkutan awam agar dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.  Perkhidmatan bas telah lama menerima persepsi negatif umum sebagai pengangkutan bagi golongan miskin. Perkhidmatan bas semasa tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan dan kekerapan perkhidmatan rel yang tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas bersama-sama ribuan kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utama merentasi 12 koridor menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan dilancarkan di empat lebuh raya di Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya. Pengguna akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan ini kerana pengangkutan awam ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan.  Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tidak mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.  Kekurangan kenderaan persendirian di jalan raya secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik.  Secara implisitnya, kadar kemalangan dapat dikurangkan sekali gus. Dengan ini, diharapkan masyarakat sedar akan kelebihan pengangkutan awam yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.


  Pengangkutan Awam sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pembinaan bandar lestari atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu atau tidak, pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar yang bersih atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar. Kawasan bandar yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah kurangnya karbon dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik. Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen membolehkan bandar raya dibangunkan dengan sempurna. Kajian masa depan perlu dilakukan untuk memikirkan kesesakan bandaraya pada masa akan datang. Walaupun adanya bandar satelit yang membantu mengurangkan kesesakan bandar utama, perancangan pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan. Kenderaan  bermotor yang padat  di kawasan bandar menyumbang kepada pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Dari satu segi, fenomena ini menunjukkan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Manakala dari sisi alam sekitar pula, hal ini menunjukkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan yang bercanggah inilah yang sepatutnya diselarikan supaya kenderaan bermotor bukan sahaja boleh digunakan sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan turut menyumbang kepada  kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah kedua-duanya dapat diselarikan? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan ‘Sistem Pengangkutan Hijau’ yakni satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya sistem pengangkutan hijau berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar tanpa gangguan daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat untuk meningkatkan kualiti  hidup penduduk di bandar akan tercapai. Hal ini kerana gangguan dari segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas telah berjaya diatasi.  Keselesaan dan kesejahteraan penduduk dalam berinteraksi di jalan raya juga merupakan sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.  Izharlah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden di negara kita mampu melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak akan menjadi masalah lagi.


   Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat memudahkan perjalanan.  Hal ini dapat dibuktikan dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji.  Penggunaan kapal terbang dapat mempercepat perjalanan di samping memudahkan jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima.  Jika dibandingkan pada tahun 1950-an, jemaah haji yang menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk sampai ke destinasinya.  Hal ini amat menyusahkan, berbanding sekarang hanya 8 jam sahaja, seseorang itu telah sampai ke Mekah.  Situasi ini jelas menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah terbukti dapat memudahkan perjalanan kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas.  Hal ini disebabkan pengangkutan awam ini mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu, keistimewaan pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.  Sekali gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya, perjalanan akan menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak dipinggirkan.


   Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya maka sebagai akhirulkalam, pengangkutan awam banyak mendatangkan manfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan seharian.  Semua lapisan masyarakat Malaysia digalakkan menggunakan pengangkutan awam.  Sekiranya langkah yang drastik dan efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah akan timbul dalam kehidupan kita di bumi yang fana ini.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah ini berpunca daripada asap kenderaan.  Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan peranan yang vital dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar setanding dengan negara-negara gergasi yang lain bak peribahasa Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah.  Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu menyokong langkah kerajaan  yang berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring dalam memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.