Masyarakat di Jepun terbahagi kepada dua
golongan iaitu golongan pemerintah yang terdiri daripada maharaja, shogun,
daimyo, dan samurai. Golongan diperintah ialah petani dan tukang-tukang mahir,
artisan, saudagar, dan pedagang. Struktur masyarakat feudal di Jepun amat jelas
pada zaman pemerintahan Keshogunan Tokugawa. Dalam masyarakat feudal Jepun,
mobiliti sosial tidak berlaku dan status sosialnya diwarisi.
Maharaja menduduki heirarki
tertinggi dalam susun lapis masyarakat feudal di Jepun. Maharaja menjadi
pemerintah rohani dan jasmani pada teorinya. Maharaja dianggap sebagai Ameritsu
atau Anak Tuhan Matahari, tetapi maharaja tidak mempunyai kuasa mutlak dalam
pentadbiran. Maharaja tinggal terpencil di Kyoto bersama-sama pegawai istana.
Heirarki kedua dalam struktur
masyarakat Jepun ialah Shogun. Shogun memegang kuasa mutlak pemerintahan Jepun.
Shogun memerintah atas nama maharaja. Pada tahun 1615, Peraturan Bagi Istana
dikeluarkan sebagai satu ordinan yang menyekat kuasa maharaja dan golongan
bangsawan.
Lapisan seterusnya ialah golongan
Daimyo. Daimyo memiliki tanah dan diberikan daerah untuk ditadbir. Daimyo
terbahagi kepada tiga iaitu Daimyo Fudai, membantu shogun dan diberikan
tanah di bahagian tengah dan utara Honshu. Daimyo Shimpan, mempunyai hubungan
dengan keluarga shogun dan mengawal Daimyo Tozama yang sering menentang
pemerintahan shogun.
Golongan samurai menduduki lapisan
akhir golongan pemerintah. Samurai merupakan pahlawan yang mengawal kedudukan
pembesar dan mempertahankan negara (Gilbert Khoo dan Dorothy Lo). Tidak berlaku
mobiliti sosial dalam institusi samurai.
Dalam kalangan golongan yang
diperintah, petani menduduki lapisan tertinggi kerana mereka membekalkan beras
untuk golongan atasan dan juga membayar sebahagian besar cukai. Golongan tukang
dihormati kerana diperlukan untuk membuat alat-alat pedang berbanding golongan
pedagang dan saudagar yang dianggap tidak memberikan sumbangan kepada
masyarakat. Golongan yang dikenali sebagai chonin ini menduduki heirarki paling
bawah dalam struktur feudal masyarakat di Jepun kerana kegiatan ekonomi
perdagangan berhubungan dengan orang-orang asing yang dianggap tidak bertamadun
oleh masyarakat feudal Jepun.
Sistem feudal di Jepun merupakan
satu cara hidup yang meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial. Sistem feudal
ini berubah apabila maharaja Meiji memperkenalkan dasar pemodenan Jepun secara
menyeluruh dengan penghapusan pengaruh golongan daimyo dan samurai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan