Pelaburan asing merupakan salah satu sumber
utama bagi pembangunan negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing menyebabkan
pendapatan negara meningkat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan
meningkatkan kemajuan dalam aktiviti ekonomi. Oleh itu, kerajaan telah
menjalankan pelbagai langkah bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini.
Langkah pertama yang dijalankan ialah
mengadakan skim galakan kepada para pemodal. Skim galakan merupakan daya
tarikan yang mustahak untuk menggalakkan pelaburan asing. Dalam usaha ini,
kerajaan telah memberi beberapa kelebihan kepada pemodal yang bertaraf perintis
seperti pengecualian cukai untuk tempoh tertentu. Dalam usaha membolehkan
pemodal asing melabur di sini, kerajaan juga harus melonggar peraturan
pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang lebih besar
sehingga 100% dalam sesuatu projek atau perniagaan.
Selain itu, kerajaan Malaysia melalui
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menghantar rombongan
perdagangan bagi menarik pelaburan dari luar negara. Rombongan-rombongan ini
bertujuan untuk menyedarkan pelabur asing mengenai potensi pelaburan di
Malaysia sama ada melalui seminar pelaburan, mesyuarat atau laporan media
massa. Maklumat-maklumat pelaburan untuk pelabur asing juga disampaikan
menerusi pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia di seberang laut.
Di samping itu, kerajaan Malaysia juga
menyediakan kawasan perindustrian dan kemudahan infrastruktur yang sempurna.
Penyediaan tapak perindustrian dan kemudahan infrastruktur ini bertujuan untuk
menarik minat pemodal-pemodal asing untuk memajukan perusahaan baru di sini.
Dengan adanya prasarana yang lengkap, sudah tentu ini akan memudahkan pelabur
asing melaksanakan projek pelaburan mereka di sini kerana ia menjimatkan kos
penyediaan kemudahan asas yang diperlukan.
Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan
memajukan bidang teknologi dan kemahiran tenaga pekerja bagi menarik ramai
pelabur asing. Selaras dengan matlamat ini, kerajaan telah melaksanakan
rancangan latihan kepakaran demi meningkatkan kemahiran dan kecekapan guna tenaga
tempatan. Tambahan pula, kerajaan melalui pelbagai agensi telah mempergiat
program penyelidikan dan pembangunan memperkenalkan teknik untuk pengeluaran
moden dan lain-lain.
Pelabur asing yang hendak menanam modal di
sesebuah negara harus memasti pelaburan mereka adalah terjamin. Oleh itu,
kestabilan politik merupakan faktor utama untuk menggalakkan lagi sektor ini.
Sekiranya keadaan politik tidak stabil dan berlaku krisis perkauman, ini sudah
tentu akan menjejaskan keyakinan para pelabur dan mendorong mereka beralih ke
negara lain. Kerajaan Malaysia juga telah menandatangani Perjanjian Jaminan
Pelaburan dengan negara-negara asing yang bermatlamat untuk memberi jaminan
bahawa kerajaan tidak akan memiliknegarakan mana-mana syarikat asing di negara
ini. Perjanjian ini dapat menambahkan keyakinan pelabur asing dan menggalakkan
kemasukan modal asing ke negara ini.
Kesimpulannya, pelaburan asing akan terus
meningkat sekiranya kerajaan Malaysia berusaha menyediakan suasana yang
kondusif dan menjamin keselamatan pelaburan asing di negara ini. Walau
bagaimanapun, di sebalik keghairahan menarik pelaburan asing, kita harus
sentiasa berhati-hati agar tidak mendatangkan implikasi negatif yang boleh
membebankan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan