PENDAHULUAN
Sesebuah karangan di peringkat STPM ini
seharusnya mengandungi tiga bahagian, iaitu:-
IU = Idea Utama (Pendahuluan)
IS = Isi Sokongan
K = Kesimpulan
IU merupakan perkara yang penting yang
memperkatakan secara umum tentang tajuk. IS pula jangan terlalu banyak; lima
atau enam IS sudah cukup. Hal ini kerana., karangan pada peringkat ini bukan
mementingkan kuantiti IS tetapi mengutamakan kualitinya. K juga harus ditulis
dengan baik, bukan sekadar tiga atau empat baris.
2 PERENGGAN KARANGAN
Ketiga-tiga bahagian di atas hendak
disampaikan dalam perenggan secara tepat, menarik dan berkesan. Jika pelajar
memutuskan untuk menulis enam IS, bererti karangan pelajar seharusnya
mengandungi lapan perenggan, iaitu satu perenggan untuk IU, enam perenggan
untuk IS, dan satu perenggan untuk K.
Perenggan 1 (IU) - 80 perkataan
Perenggan 2 (IS1) - 90 perkataan
Perenggan 3 (IS2) - 90 perkataan
Perenggan 4 (IS3) - 90 perkataan
Perenggan 5 (IS4) - 90 perkataan
Perenggan 6 (IS5) - 90 perkataan
Perenggan 7 (IS6) - 90 perkataan
Perenggan 8 (K) - 80 perkataan
3 PANJANG KARANGAN
Panjang karangan yang perlu ditulis oleh
pelajar adalah antara 650 hingga 700 patah perkataan. Oleh itu pelajar
janganlah menulis lebih daripada 700 patah perkataan kerana lebihan itu tidak
lagi diambil kira. Sebagai contoh, jika pelajar menulis 800 patah perkataan,
bererti bahagian K akan berada pada 100 patah perkataan yang terakhir, yang
tidak lagi diambil kira (tidak dibaca dan diperiksa). Dengan demikian, karangan
berkenaan dianggap tiada K dan sudah tentulah keberkesanannya turut terjejas.
4 SOALAN KARANGAN
Terdapat banyak soalan karangan yang
berkehendakkan dua aspek IS, misalnya “faktor dan langkah mengatasi”, “sebab
dan akibat”. “kebaikan dan keburukan” dan lain-lain. Untuk menjawab soalan
seumpama ini, pelajar hendaklah mengemukakan IS secara seimbang dan dicadangkan
tiga IS bagi setiap bahagian. Jika mengemukakan lima IS dicadangkan tiga IS
bahagian pertama dan dua IS bahagian kedua.
5 BAHAN SOKONGAN
Bagi menghasilkan karangan yang bermutu,
bahan-bahan sokongan, seperti contoh, bukti, pendapat, perangkaan/data, dan
lain-lain yang relevan dengan perkara yang ditulis, haruslah dimasukkan.
Perkara ini penting untuk menguatkan lagi idea yang diutarakan dan sekali gus
dapat meyakinkan pembaca.
6 BAHASA DAN PENYAMPAIAN
Walau sebaik manapun idea yang ingin
disampaikan tetapi keberkesanannya belum terjamin jika pelajar gagal menguasai
aspek bahasa dengan baik. Perkara ini merupakan suatu kenyataan kerana bahasa
merupakan wahana untuk menyampaikan buah fikiran seseorang. Oleh itu, pelajar
seharusnya menguasai benar-benar pelbagai struktur ayat, tatabahasa, ejaan,
aspek mekanis (tanda baca) dan aspek-aspek yang lain untuk menghasilkan
karangan yang benar-benar menggambarkan kematangan.
KESIMPULAN
Tiada jalan mudah untuk memperoleh
sesuatu yang cemerlang, melainkan dengan berusaha. Dalam hal ini, pelajar
hendaklah tidak jemu-jemu berusaha membaca, merujuk, menyalin karangan terbaik
dan membuat latihan karangan serta berbincang dengan rakan ataupun guru agar
pelajar kurang menghadapi masalah apabila menduduki peperiksaan STPM yang akan
menjelang. Ikhtiar terakhir ialah memohon doa ke hadrat Ilahi, agar segala
usaha kita diberkati-Nya. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan