Kejadian
ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan
buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang
tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai
faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya
tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah
punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?
Sebenarnya
jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu
sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka.
Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak
dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu
juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila
pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah
percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek
keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin
menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.
Malah,
kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang
mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di
negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan
terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang
kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus
mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri
pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai
pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka
secara mudah.
Seterusnya
masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah
pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan
berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan
memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua
kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah
menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu
malam.
Kemelut
ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap
generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin
moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya
ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut
akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat
kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.
Akhirnya,
semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa
perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus
mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan
ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah
ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin
peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya
bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan