Perang
Candu II (1856-1860)
Pengenalan
Pada tahun 1839-1842 berlaku peperangan
antara British dengan China yang dikenali sebagai Perang Candu Pertama.
Peperangan ini ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Nanking pada 29 Ogos
1842. Perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan tetapi tidak menyelesaikan
masalah dalam hubungan antara China dan British. Hubungan antara mereka tetap
runcing sehingga mengekibatkan peperangan yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali
sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow.
Sebab-sebab
1. Kelemahan Perjanjian Nanking
Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul
H. Clyde dan Burton F. Beers mendakwa kelemahan Perjanjian Nanking merupakan
faktor utama meletuskan peperangan yang kedua antara China dengan British pada
1856-1860. Keengganan China untuk mematuhi syarat-syarat Perjanjian Nanking dan
tindakan British untuk memaksa China mematuhinya serta menuntut keistimewaan-keistimewaan
tambahan telah meruncingkan hubungan antara China dan British.
a. Masalah Amoy dan Ningpo
Mengikut Perjanjian Nanking 1842, China
membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow,
Ningpo dan Shanghai. Walau bagaimanapun, selepas perjanjian tersebut
ditandatangani, British mendapati Amoy dan Ningpo tidak sesuai dari segi
perdagangan. Oleh itu, mereka telah mendesak China menukar pelabuhan-pelabuhan
tersebut dengan pelabuhan-pelabuhan lain yang lebih sesuai. Selain itu, British
berhasrat untuk mengembangkan kegiatan perdagangan ke seluruh China. Mereka
tidak mahu kegiatan perdagangan hanya tertumpu di 5 pelabuhan perjanjian. Oleh
itu, mereka telah mendesak China membuka lebih banyak pelabuhan kepada pedagang
asing. Kehendak British tidak dipersetujui oleh China kerana mereka menganggap
negeri China telah memberi terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa
barat. Keengganan China untuk memenuhi kehendak British dan tindakan British
untuk memaksa China memenuhi tuntutan mereka sudah tentu meruncingkan hubungan
antara China dan British.
b. Masalah Canton dan Foochow
Mengikut Perjanjian Nanking,
pedagang-pedagang asing diberi kebebasan berdagang di kesemua 5 pelabuhan
perjanjian. Walau bagaimanapun, pedagang-pedagang asing masih lagi dikenakan
sekatan-sekatan dan tekanan-tekanan terutamanya di Canton dan Foochow. Keadaan
ini berlaku kerana sikap anti asing penduduk tempatan lebih-lebih lagi kerana
mereka dipengaruhi oleh pegawai-pegawai sarjana yang merasai kepentingan mereka
terjejas akibat kehadiran barat. Selain itu, Maharaja China yang baru menaiki
takhta pada 1850 iaitu Hsien Feng dan Pesuruhjaya Tinggi China yang baru
dilantik pada 1852 iaitu Yeh Ming Chen juga bersikap anti asing.
Penduduk-penduduk tempatan telah memulaukan barang-barang barat. Selain itu,
berlaku di Canton pada 1843 dan 1846 iaitu John Davies telah mengarahkan kapal
perang British membedil Canton. Sebagai tindak balas, pihak China telah
membunuh 6 orang rakyat British. Peristiwa ini sudah tentu meruncingkan
hubungan antara China dengan British.
c. Masalah candu
Orang-orang cina mendakwa peperangan
British dengan China 1839-1842 berlaku kerana masalah candu. Walau
bagaimanapun, Perjanjian Nanking, tidak terdapat sebarang syarat yang berkaitan
dengan perdagangan candu. Candu terus dibawa masuk ke negeri China dengan kadar
yang lebih banyak.
1843 – 33000 peti
1848 – 46000 peti
1850 – 52929 peti
Kemasukan candu menjejaskan China dari
segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan
dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan
telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir
keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport
barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada
Kerajaan China. Dari segi sosial pula, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan
akhlak kerana ramai rakyat China yang menjadi penagih candu. Desakan China
supaya British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British mematuhi
arahan China telah meruncingkan hubungan antara mereka.
d. Cohong
Mengikut Perjanjian Nanking, sistem
monopoli cohong dalam perdagangan asing dihapuskan. Walau bagaimanapun, pada
tahun 1840-an dan 1850-an terdapat usaha pihak penguasa China untuk
menghidupkan kembali sistem cohong di mana bekas anggota cohong diberi monopoli
dalam perdagangan teh. Tindakan ini mendapat bantahan pedagang-pedagang asing
terutamanya pedagang British kerana mereka menganggap kewujudan semula sistem
cohong akan menjejaskan perdagangan asing, lebih-lebih lagi ramai di antara
mereka terlibat dalam perdagangan teh.
e. Hubungan diplomatik
Mengikut Perjanjian Nanking, China
bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa barat atas
dasar sama taraf. Syarat ini kemudiannya tidak dipersetujui oleh China kerana
mereka menganggap tindakan tersebut akan menjatuhkan maruah China. Orang-orang
China masih menganggap negara China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung
Kao" yang lebih bertamadun. Orang-orang asing masih dianggap sebagai
barbarian, gasar atau “fan kwae” iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun.
Kedatangan orang asing masih lagi dianggap sebagai kehadiran wakil negara
pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaan China. Pada 1849, Setiausaha
Luar British Lord Palmerston telah mengutus surat kepada Maharaja Toa Kuang
mendesak China mewujudkan hubungan diplomatik dengan British. Walau
bagaimanapun, surat ini tidak mendapat layanan pihak China. Sehingga tahun
1856, tidak terdapat sebarang kuasa barat yang berjaya mewujudkan diplomatik
dengan China.
f.
Krisis ekonomi
Perang Candu pertama telah menyebabkan
negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan
yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan
barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya
banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi
masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi, China telah
merayu supaya British mengurangkan ganti rugi. Keengganan British telah
menjejaskan hubungan antara mereka.
g. Mambaharui perjanjian
Bila Brtitish menyedari China tidak mematuhi
sepenuhnya syarat-syarat Perjanjian Nanking, mereka telah mendesak China supaya
diadakan rundingan bagi mengkaji semua syarat-syarat Perjanjian Nanking.
Tindakan ini diambil kerana British dipengaruhi oleh syarat Perjanjian Wanghsia
3 Julai 1844 antara China dengan Amerika dan Perjanjian Whampoa 24 Oktober 1844
antara China dengan Perancis yang menegaskan perjanjian-perjanjian tersebut
akan dikaji semula dalam tempoh 12 tahun. British menuntut keistimewaan ini
berdasarkan prinsip “layanan negara yang diutamakan”. Sekiranya keistimewaan
ini dinikmati oleh British, bermakna Perjanjian Nanking perlu dikaji semula
pada 1854. British mahu mengkaji semula syarat-syarat Perjanjian Nanking dengan
tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan tambahan seperti kebebasan
berdagang di kawasan pedalaman, Bandar-bandar serta pelabuhan-pelabuhan di
pinggir pantai dan juga untuk menempatkan perwakilan diplomatik di Peking.
Desakan British supaya China mengkaji semula syarat Perjanjian Nanking dan
keengganan China untuk memenuhi kehendak tersebut telah meruncingkan hubungan
antara mereka. Pihak China telah mendakwa negeri China telah memberi terlalu
banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat.
2. Pembunuhan Augustus Chapdelaine
Pada Februari 1856, seorang mubaligh
Perancis iaitu Augustus Chapdelaine telah dibunuh di Sin Lin di wilayah Kwangsi
atas tuduhan mempengaruhi penduduk tempatan menentang pemerintahan Manchu.
Pembunuhan ini telah melanggar prinsip “Hak Wilayah Asingan” yang diberikan
kepada Perancis dalam Perjanjian Whampoa 1844. Akibatnya Perancis menyertai
British untuk memerangi China dengan tujuan untuk menuntut bela di atas
kematian Augustus Chapdelaine. Selain itu, Perancis mahu mengalahkan China
dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan lain di China.
3. Kuasa lain
Selain British dan Perancis, peperangan
1856-1860 juga disertai oleh Amerika dan Rusia. Angkatan Amerika dipimpin oleh
William Reed dan angkatan Rusia dipimpin oleh Count Putyatin. Mereka menyertai
peperangan dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan di China
sekiranya berjaya mengalahkan negeri China. Selain itu, mereka mahu menjamin
kejayaan British kerana kekalahan British bukan sahaja akan menjejaskan kepentingan
British, tetapi juga kepentingan kuasa-kuasa barat lain di China.
4.
Peristiwa “Arrow”
Pada 8 Oktober 1856, polis peronda China
atas arahan Pesuruhjaya Tinggi Yeh Min Chen telah menaiki kapal “Arrow” dan
menangkap 12 daripada 14 anak kapalnya atas tuduhan terlibat dalam penyeludupan
dan pelanunan. Kapal “Arrow” kepunyaan seorang saudagar China yang didaftarkan
di Hong Kong. Nahkodanya seorang British dan kapal ini mengibarkan bendera
“Union Jack”. Tindakan polis peronda China dianggap menjatuhkan British
lebih-lebih lagi bendera “Union Jack” diturunkan. Gabenor Hong Kong, iaitu Sir
John Bowring telah mengarahkan konsul British di Canton Harry Parkes mendesak
Yeh Min Chen membebaskan anak kapal “Arrow” dan memohon maaf secara rasmi
daripada British. Walaupun anak kapal “Arrow” kemudiannya dibebaskan tetapi Yeh
Min Chen enggan memohon maaf. Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde
dan Burton F. Beers menganggap peristiwa “Arrow” sebagai faktor segera yang
mengakibatkan peperangan antara British dengan China 1856-1860.
Peristiwa peperangan
Berikutan daripada peristiwa Arrow,
angkatan British di bawah Laksamana Seymour menyerang Canton pada 23 Oktober
1856. Walau bagaimanapun, serangan ke atas China kemudiannya dihentikan kerana
tidak mendapat kebenaran Kerajaan British dan juga kerana berlakunya Dahagi
India pada Mei 1857 di mana tentera British terpaksa dikerahkan ke India. Bila
keadaan di India telah reda, serangan ke atas China diteruskan. Angkatan
British dipimpin oleh Lord Elgin, Perancis oleh Baron Gros, Amerika oleh
William Reed dan Rusia oleh Count Putyatin. Pada 29 Disember 1857, mereka
menyerang Canton. Pada April 1858, angkatan barat menyerang Shanghai. Pada 20
Mei 1858, angkatan barat memusnahkan kubu China di Taku dan seterusnya menawan
Tientsin. Kejatuhan Tientsin menyebabkan China bersetuju mengadakan rundingan.
Pihak China diwakili oleh Kuei Ling dan Hu Shana manakala pihak barat diwakili
oleh Lord Elgin (British), Baron Gros (Perancis), William Reed (Amerika) dan
Count Putyatin (Rusia). Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Tientsin
ditandatangani pada 26 Jun 1858. Syarat-syaratnya ialah :
1.
China bersetuju mengadakan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan
kuasa-kuasa barat. Perwakilan diplomatik akan ditempatkan di Peking.
2.
11 pelabuhan China dibuka kepada pedagang asing iaitu Newchwang, Nanking,
Kiukiang, Chinkiang, Swatow, Tainan, Tanshui, Hankow, Kiungchow, Tungchow dan
Chefoo.
3.
Mubaligh diberi kebebasan untuk menyebarkan agama Kristian dan mereka mendapat
perlindungan dari China.
4.
Orang asing yang mempunyai passport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa China
diberi kebenaran untuk meneroka kawasan pedalaman China.
5.
Kapal perdagangan asing dibenarkan belayar di sepanjang Sungai Yangtze hingga
ke Hankow.
6.
Perdagangan candu dibenarkan dan cukai ke atas candu ditetapkan sebanyak $21.60
satu peti.
7.
Cukai import dan eksport ditetapkan sebanyak 5%.
8.
Kuasa asing diberi kebenaran untuk menempatkan konsul mereka di tiap-tiap
pelabuhan perjanjian.
9.
Kapal perang asing dibenarkan berlabuh di semua pelabuhan China dengan tujuan
untuk dibaiki ataupun mendapat bekalan.
10.
China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 4 juta taels kepada tiap-tiap
kuasa barat yang terlibat dalam Perang Arrow.
11.
Kuasa asing mendapat “Hak Wilayah Asingan”
12.
China tidak akan menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut.
13.
Kowloon diserahkan kepada British.
Selepas Perjanjian Tientsin
ditandatangani angkatan barat kembali ke Hong Kong. Maharaja Hsien Feng
mengarahkan panglimanya Sengko Lin Chin membina semula kubu China di Taku yang
telah dimusnahkan oleh pihak barat. British menganggap tindakan China sebagai
percubaan tidak mahu mematuhi syarat-syarat Perjanjian Tientsin. Akibatnya
angkatan British di bawah Lord Elgin dan angkatan Perancis di bawah Baron Gros
telah mara ke utara. Mereka mendapat bantuan daripada Jeneral Hope Grant
(British) dan Jeneral De Moutouban (Perancis). Pada Ogos 1860 mereka berjaya
menawan Tientsin. Pada Oktober 1860, mereka menyerang Peking dan memusnahkan
“Istana Musim Panas”. Maharaja Hsien Feng melarikan diri ke Jehol. Pihak China
kemudiannya bersetuju mengadakan rundingan. Mengikut rundingan tersebut, China
diwakili oleh Putera Kung, British diwakili oleh Lord Elgin dan Perancis oleh
Baron Gros. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Peking ditandatangani
pada 24 Oktober 1860. Syarat-syaratnya ialah :
1.
China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 2 juta taels kepada British dan 2
juta taels kepada Perancis. British akan menduduki Tientsin sehingga bayaran
ganti rugi diselesaikan.
2.
Tientsin dibuka kepada pedagang asing.
3.
Pulau Stone Cutter diserahkan kepada British.
4.
Mubaligh diberi kebenaran untuk membeli atau menyewa tanah serta membina
bangunan di China.
5.
China tidak akan menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut.
6.
Perjanjian ini mengesahkan semua perjanjian yang telah ditandatangani antara
China dengan kuasa-kuasa barat.
Kesan-kesan
1.
Menyedarkan China barat lebih superior
Kekalahan China dalam Perang Candu kedua
merupakan kekalahan kedua mereka kepada kuasa-kuasa barat dalam tempoh 2 dekad.
Kekalahan inimenyedarkan mereka bahawa barat lebih superior daripada China.
Buktinya mereka mula meniru teknik-teknik barat untuk dilaksanakan di negeri China.
Pemimpin-pemimpin China seperti Tseng Kao Fan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang
telah meniru idea-idea barat dalam politik, ekonomi dan sosial untuk
dilaksanakan dalam Rancangan Pembaharuan “Gerakan Memperkuatkan Diri
1864-1894”.
2.
Merugikan China
Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking
yang ditandatangani amat merugikan pihak China. China terpaksa membayar ganti
rugi sebanyak 2 juta taels kepada kuasa-kuasa barat yang terlibat dalam Perang
Arrow. Dalam Perjanjian Tientsin misalnya ganti rugi sebanyak 4 juta taels
telah dibayar kepada setiap kuasa barat, iaitu Perancis, Rusia, Amerika dan
British. Dalam Perjanjian Peking pula, British dan Perancis masing-masing
dibayar ganti rugi sebanyak 2 juta taels lagi. Selain bayaran ganti rugi, China
juga terpaksa menanggung perbelanjaan perang yang banyak. Kemasukan barangan
barat pula menjejaskan industri tempatan sehingga banyak yang terpaksa ditutup.
Kemasukan candu telah merugikan lagi pihak China.
3.
Menguntungkan British
Di pihak British pula, Perjanjian
Tientsin dan Perjanjian Peking amat menguntungkan mereka. Mereka telah mendapat
ganti rugi sebanyak 6 juta taels iaitu 4 juta taels di bawah Perjanjian
Tientsin dan 2 juta taels lagi di bawah Perjanjian Peking. Selain itu mereka
juga mendapat Kowloon dan Pulau Stone Cutter. Tambahan pula, mereka juga diberi
kebenaran yang lebih luas untuk berdagang di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. Di
samping itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat
serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera.
4.
Menguntungkan kuasa-kuasa lain
Selain British, Perjanjian Tientsin dan
Perjanjian Peking juga menguntungkan kuasa-kuasa barat yang lain termasuklah
Perancis, Rusia dan Amerika. Di bawah Perjanjian Tientsin misalnya setiap kuasa
tersebut telah dibayar ganti rugi sebanyak 4 juta taels manakala dalam
Perjanjian Peking, Perancis telah dibayar ganti rugi tambahan sebanyak 2 juta
taels. Selain itu, kuasa-kuasa barat ini juga dibenarkan berdagang sepanjang
tahun di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. China kemudiannya turut menjadi
pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan
bahan mentah terutamanya teh dan sutera.
5.
Lahir dua golongan
Peperangan Arrow telah mengakibatkan
lahirnya 2 golongan dalam masyarakat China iaitu golongan pro barat dan
golongan anti barat. Golongan pro barat meniru idea-idea barat untuk
dilaksanakan di negeri China manakala golongan anti barat menjalankan kegiatan
menentang kegiatan orang barat serta pengaruh mereka di China. Contohnya pada
21 Jun 1870, mereka telah menyerang rumah kanak-kanak yatim Kristian di
Tientsin menyebabkan 20 orang terbunuh termasuk 10 rahib wanita. Pada tahun
1875, Raymond Margary serta 5 orang Cina yang menjadi pengikutnya telah dibunuh
semasa menjalankan penyelidikan untuk mencari jalan darat dari Myanmar ke
China.
6.
Hubungan diplomatik
Selepas Perang Arrow, China mula
mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat.
Bagi menguruskan hubungan dengan kuasa-kuasa barat, Pejabat Hal Ehwal Luar yang
dikenali sebagai Tsungli Yamen telah diwujudkan pada 11 Mac 1861. Sejak tahun
1861, duta-duta asing mula ditempatkan di Peking. Antara mereka ialah Anson Burlingame
(duta Amerika), Frederick Bruce (British), M. Buthemy (Perancis) dan De
Balluseck (Rusia). Pada tahun 1866, dengan bantuan Robert Hart, satu perwakilan
China yang diketuai oleh Pin Chun telah dihantar ke Eropah. Pada tahun 1868
dengan bantuan Anson Burlingame, satu perwakilan China yang diketuai oleh Chih
Kong dan Sun Chia Ku telah dihantar ke Amerika. Perwakilan ini kemudiannya
melawat negara-negara Eropah. Sejak tahun 1877, duta-duta China mula
ditempatkan di negara-negara asing seperti di Amerika, British, Perancis,
Jerman, Rusia, Sweden, Sepanyol dan lain-lain lagi.
7.
Pengaruh barat
Pembukaan lebih banyak pelabuhan China
dan keistimewaan-keistimewaan yang diberi kepada pedagang asing telah
mengakibatkan kemasukan pengaruh barat di negeri China. Ramai rakyat China
telah terpengaruh dengan budaya barat. Kebebasan yang diberi kepada
mubaligh-mubaligh telah menyebabkan ramai rakyat China terutamanya golongan
muda di pelabuhan-pelabuhan perjanjian memeluk agama Kristian.
8.
Penglibatan orang barat
Sejak tahun 1861, ramai orang barat
terlibat dalam hal ehwal pentadbiran orang Cina. Mereka dilantik untuk membantu
China memodenkan pentadbiran mengikut sistem pentadbiran barat. Semasa
pelaksanaan “Gerakan Memperkuatkan Diri”, pihak China telah mengambil ramai
pegawai barat untuk memodenkan China dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Antara mereka ialah Robert Hart, Horatio N. Lay dan W.A.P. Martin.
9.
Menjatuhkan maruah
Kekalahan dalam perang Arrow merupakan
kekalahan kedua Manchu kepada kuasa-kuasa barat dalam tempoh 2 dekad. Kekalahan
ini telah menjatuhkan maruah Manchu serta menghilangkan keyakinan orang ramai
terhadap Kerajaan Manchu. Kekalahan ini juga mendedahkan kelemahan tentera
serta kerendahan imej mereka. Akibatnya gerakan anti Manchu semakin bertambah
terutamanya di kawasan selatan. Orang-orang China menganggap Kerajaan Manchu
telah kehilangan mandat untuk memerintah negeri China. Antara pemberontakan itu
termasuklah Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan Pemberontakan Muslim.
10.
Krisis ekonomi
Perang Arrow telah menyebabkan negeri
China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang
banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan
barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya
banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi
masalah ekonomi di China.
11. Penghijrahan
Selepas Perang Arrow, ramai rakyat China
mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan
rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi
memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Tambahan pula, Kerajaan China
juga tidak menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut selepas
termeterainya Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking. Orang-orang China
sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu
serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di China.