SEJARAH 2 (ASIA) CHINA
TEMA 2
BAB 5: Penjelajahan dan campur tangan
Barat
Perang
Candu 1839-1842
Pengenalan
Peperangan British-China 1839-1842 juga
dikenali sebagai Perang Candu I. Peperangan ini merupakan titik peralihan dalam
sejarah moden negeri China kerana selepas peperangan ini, khususnya selepas
termeterai Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842, China terpaksa menamatkan
dasar isolasi dan seterusnya mengadakan hubungan dengan kuasa-kuasa barat.
Orang Cina menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah candu. Orang-orang
barat pula menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah politik, ekonomi
dan sosial yang berkaitan dengan hubungan diplomatic, perdagangan bebas dan
sistem keadilan. Masalah candu hanya merupakan faktor sampingan yang
mempercepatkan peperangan. Ramai ahli sejarah mendakwa peperangan ini berlaku
akibat pertembungan dua kebudayaan.
Sebab-sebab
1.
Hubungan Diplomatik
Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Edgar
Holt dan Soothills menganggap keengganan China untuk mewujudkan hubungan
diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat menjadi sebab utama
berlakunya Perang Candu Pertama. Orang-orang Cina menganggap China sebagai
“Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Maharaja China
dianggap sebagai anak syurga dan pemerintah universal. Orang-orang asing
dianggap sebagai orang gasar atau barbarian atau fan kwae, iaitu hantu-hantu
asing yang tidak bertamadun. Kedatangan orang asing dianggap sebagai kehadiran
wakil-wakil negara pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaaan China.
Dasar ini tidak dipersetujui oleh orang-orang barat, terutamanya British kerana
mereka mengamalkan konsep persamaan taraf, lebih-lebih lagi selepas
termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 antara negara-negara Eropah yang
menegaskan hubungan antara negara mesti dijalankan atas dasar sama taraf, tidak
kira negara itu kecil atau besar.
Sebelum Perang Candu, China tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian
dengan kuasa-kuasa barat kecuali dua perjanjian mengenai sempadan dengan Rusia,
iaitu Perjanjian Nerchinsk 1689 dan Perjanjian Kiachta 1727. Usaha-usaha
British untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China gagal kerana China
tidak dapat menerima konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh British. Antara
utusan British yang dihantar ke negeri China ialah utusan Lord Macartney 1793,
utusan Lord Amherst 1816 dan utusan Napier 1834. Faktor utama yang menggagalkan
utusan tersebut ialah masalah “kow tow” (adat menyembah raja) yang dikenakan ke
atas utusan-utusan tersebut.
Orang-orang
barat tidak boleh mengadakan hubungan secara langsung dengan Kerajaan China.
Hubungan mesti dijalankan melalui sebuah badan iaitu “cohong” yang ditubuhkan
pada 1720. Keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar
sama taraf telah menyebabkan kuasa-kuasa barat terutamanya British terpaksa
mengambil tindakan secara kekerasan. Edgar Holt dalam bukunya “The Opium Wars
in China” menegaskan “the opium war was fought to end forever China’s
assumption of superiority to all other nations”.
Pembubaran monopoli perdagangan China
Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1833 telah menyebabkan ramai pedagang
British datang ke negeri China. Untuk melindungi mereka, seorang penguasa
perdagangan atau Taipan telah dilantik di Canton. Penguasa perdagangan yang
pertama dilantik pada Mac 1834 ialah Lord Napier. Kegagalan untuk mewujudkan
hubungan diplomatik dengan China telah mengecewakan beliau sehingga meninggal
dunia di Macau pada Oktober 1834. beliau digantikan oleh L.V. Davies pada tahun
1835. L.V. Davies juga gagal mewujudkan hubungan diplomatic dengan China dan
terpaksa bersara pada 1837. Beliau digantikan oleh GeorgeBest Robinson.
Robinson juga menerima nasib yang sama sehingga terpaksa bersara pada 1839 dan
digantikan oleh Charles Elliot. Semasa Charles Elliotlah berlaku Perang Candu
1839-1842.
2. Perdagangan
bebas
Christopher Hibbert dalam bukunya “The
Dragon Wakes” dan Kenneth Scott Latourette dalam bukunya “A History of Modern
China” menegaskan masalah perdagangan bebas khususnya sekatan China ke atas
perdagangan asing merupakan faktor utama berlakunya Perang Candu I 1839-1842.
Dewasa itu, British mengamalkan dasar perdagangan bebes yang menganggap mereka
berhak berdagang di mana sahaja dan dengan siapa sahaja. Akibat perkembangan
Revolusi Perusahaan, British memerlukan negeri China sebagai pasaran kepada
barang-barang keluaran industri mereka serta untuk mendapatkan bahan mentah
terutamanya teh dan sutera. Bagi British, perdagangan dianggap sebagai hak
manakala China menganggapnya sebagai keistimewaan yang diberi dan boleh ditarik
balik jika difikirkan perlu.
China bersikap anti perdagangan asing. Mereka menganggap perdagangan asing
tidak penting kerana keperluan dalam negeri khususnya makanan mencukupi
disebabkan pertanian merupakan punca utama ekonomi China. Dalam susunlapis
masyarakat China, peniaga/pedagang merupakan golongan yang terendah dan
kegiatan perdagangan atau perniagaan sebagai pekerjaan yang hina. Malah
orang-orang Cina yang berdagang dengan orang-orang asing dianggap sebagai
pengkhianat. Akibat daripada itu, China telah mengenakan pelbagai sekatan ke
atas perdagangan asing. Sekatan-sekatan ini telah menimbulkan perasaan tidak
puas hati pedagang-pedagang asing.
Mengikut perintah diraja 1757 yang dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung,
pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di Canton. Pedagang-pedagang
asing di Canton telah dikenakan pelbagai sekatan. Mereka hanya dibenarkan
berada di Canton dalam musim perdagangan dari bulan Oktober hingga Januari. Di
luar musim perdagangan, pedagang-pedagang asing dikehendaki meninggalkan
Canton. Untuk menjamin mereka tidak menetap di Canton, pedagang-pedagang asing
tidak dibenarkan membawa keluarga mereka. Keluarha mereka mesti ditinggalkan di
Macau (wilayah Portugis). Mereka juga tidak boleh bergerak bebas kecuali pada
8, 18 dan 28 hari bulan tiap-tiap bulan dalam musim perdagangan. Selain itu,
pedagang-pedagang asing tidak boleh berdagang secara langsung dengan orang
Cina. Perdagangan mesti dijalankan melalui cohong yang dianggotai oleh 13
pegawai dan ketuanya bergelar Hoppo. Cohong mempunyai kuasa penuh dalam
perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, kebenaran menggunakan
sungai, menetapkan harga dan cukai, menentukan jenis perdagangan dan
sebagainya. Malah hubungan antara orang asing dengan Kerajaan China mesti
dijalankan melalui cohong.
Pedagang-pedagang asing mahu berdagang di bahagian-bahagian lain di China
selain di Canton. Mereka mahu berdagang secara bebas dan mendapatkan harga yang
berpatutan bagi barang-barang China. Tindakan cohong mengenakan cukai dan harga
yang tinggi serta tidak tetap menimbulkan perasaan tidak puas hati
pedagang-pedagang asing. Sekatan China ke atas pedagang asing telah menyebabkan
peperangan tidak dapat dielakkan antara British yang merupakan negara
progresif, perindustrian dan kapitalis dengan China yang merupakan negara
pertanian, tidak progresif dan bersikap anti perdagangan asing.
3.
Sistem keadilan
Dari segi sosial, timbul masalah keadilan
kerana konsep keadilan China berbeza dengan konsep keadilan British. Kerajaan
China telah mengeluarkan arahan supaya semua orang asing yang berada di China
mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan di China. Arahan ini tidak
dipersetujui oleh pedagang asing kerana mereka menganggap undang-undang China
sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, pada 1784, seorang anak
kapal “Lady Hughes” telah dijatuhkan hukuman dicekik sampai mati kerana
kesalahannya membunuh secara tidak sengaja seorang rakyat China semasa upacara
kehormatan di Whampoa. Hukuman yang sama juga dikenakan kepada Terranova iaitu
anak kapal “Emily” pada 1821. Pada 12 Julai 1839, 3 orang British yang mabuk
telah membunuh seorang rakyat China iaitu Lin Wei Hsi. Pesuruhjaya Tinggi China
di Canton, Lin Tse Hsu telah mengarahkan penguasa perdagangan British Charles
Elliot menyerahkan ketiga-tiga orang British yang terlibat dalam pembunuhan
tersebut kepada pihak China untuk diadili. Charles Elliot yang menyedari
hukuman yang akan dijatuhkan enggan menyerahkan mereka. Sebaliknya beliau
membicarakan mereka dan menjatuhkan hukuman penjara. Tindakan Charles Elliot
sudah tentu menjejaskan hubungan antara British dan China
Mengikut undang-undang China, seseorang yang dituduh melakukan kesalahn tetap
bersalah sehingga beliau dapat membuktikan dirinya tidak bersalah. Mengikut
undang-undang British pula, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak
bersalah sehingga pihak pendakwa dapat membuktikan beliau bersalah. China
mengamalkan undang-undang kumpulan dan tanggungjawab ketua. Mengikut undang-undang
kumpulan, jika seseorang melakukan kesalahan, semua anggota dalam kumpulannya
bertanggungjawab dan boleh dijatuhkan hukuman. Mengikut undang-undang
tanggungjawab ketua, sekiranya anak buah melakukan kesalahan ketuanya juga
bertanggungjawab dan juga boleh dijatuhkan hukuman. Undang-undang ini tidak
dipersetujui oleh British kerana mereka mengamalkan undang-undang tanggungjawab
individu. Hanya mereka yang melakukan kesalahan bertanggungwab di atas
kesalahannya dan boleh dijatuhkan hukuman. Di negeri China, tidak ada perbezaan
antara undang-undang dan perintah. Perintah pegawai lebih-lebih lagi perintah
maharaja sudah dianggap sebagai undang-undang yang mesti dilaksanakan.
4.
Masalah candu
Perdagangan antara British dan China
tidak seimbang. British memerlukan barang-barang China terutamanya teh dan
sutera tetapi China tidak memerlukan barang-barang British. Akibatnya banyak
wang British mengalir ke negeri China. 1780-1790, 14 juta taels dan
1790-1800, 26 juta taels
Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan
ekonomi kepada British. Untuk mengimbangi perdagangan, British membawa masuk
candu dari India dan Turki sejak 1773.
Sebelum 1720
200 peti candu setahun
Sebelum 1750
400 peti candu setahun
Sejak 1773
1000 peti candu setahun
1800
4500 peti candu setahun
1810
10000 peti candu setahun
1820
20000 peti candu setahun
1830
30000 peti
candu setahun
1837-1840
40000-60000 peti candu setahun
Kemasukan candu telah menjejaskan negeri
China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik berlaku
ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai
kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi banyak wang China
mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi
nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan
ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan
keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China menjadi penagih candu. Untuk
mengatasi masalah ini, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh Maharaja Chien
Lung (1736-1796), Maharaja Chia Ching (1796-1820) dan Maharaja Tao Kuang
(1820-1850) mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta
penyeludupan candu. Arahan ini tidak mendapat layanan pedagang-pedagang asing
dan mereka enggan menghentikan perdagangan candu yang amat menguntungkan
mereka.
Pada 1 Mac 1839 Maharaja Tao Kuang telah melantik Lin Tse Hsu sebagai
Pesuruhjaya Tinggi China di Canton dengan tugas khas untuk menghapuskan
perdagangan, penyeludupan dan penggunaan candu. Beliau tiba di Canton pada 10
Mac 1839. Pada 18 Mac 1839, beliau mengeluarkan arahan mendesak
pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu,
menyerahkan candu kepada pihak China untuk dimusnahkan dan menandatangani surat
sumpah tidak akan menjalankan perdagangan dan penyeludupan candu. Bila
arahannya tidak mendapat layanan, Lin Tse Hsu telah mengepung 350 orang
pedagang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang British termasuk
penguasa perdagangan Charles Elliot di Canton. Apabila terdesak, Charles Elliot
telah mengarahkan pedagang-pedagang asing menyerahkan candu kepada pihak China.
Sebanyak 20283 peti candu diserahkan dan dimusnahkan oleh pihak China.
Peristiwa inilah yang memulakan peperangan antara British dengan China.
Setiausaha Luar British, Lord Palmestone telah menjadikan peristiwa candu
sebagai alasan menyerang China. Ahli-ahli sejarah menganggap masalah candu
hanya merupakan faktor segera yang mempercepatkan Perang Candu I. W.E.
Soothills dalam bukunya “China and the west” menegaskan “opium was the
accidental cause”.
Peristiwa peperangan
British mengisytiharkan perang ke atas
China pada 31 Januari 1840. Angkatan British diketuai oleh Charles Elliot dan
Laksamana George Elliot. Mereka telah menyerang Canton, Amoy, Foochow dan Pulau
Chu Shan. Kemaraan tentera British membimbangkan China menyebabkan mereka
bersetuju mengadakan rundingan. China diwakili oleh Chi Shan dan British
diwakili oleh Charles Elliot. Hasil daripada rundingan tersebut, Konvensi
Chuenpi ditandatangani pada 20 Januari 1841. Syarat-syaratnya :
1.
Hong Kong Diserahkan kepada British.
2.
China dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 6 juta taels ke atas candu yang
dimusnahkan oleh pihak China.
3.
Hubungan antara British dengan China mesti dijalankan atas dasar sama taraf.
4.
Canton dibuka semula kepada pedagang asing.
Konvensi Chuenpi tidak diterima oleh
Setiausaha Luar iaitu Lord Palmestone dan Maharaja Tao Kuang. Akibatnya
peperangan antara British dan China berterusan. Pada Ogos 1841, Henry
Pottingger menggantikan Charles Elliot. Di bawah Henry Pottingger angkatan
British menyerang Canton, Amoy, Foochow, Ningpo, Shanghai dan Chinkiang. Pada 9
Ogos 1842 mereka menyerang Nanking dan berjaya memusnahkannya pada 14 Ogos
1842. Kejatuhan Nanking membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju
mengadakan rundingan. Rundingan diadakan di atas kapal perang British
Cornwallis sejak 20 Ogos 1842. China diwakili oleh Ki Ying, Nieu Chien dan Illippi.
British diwakili oleh Henry Pottingger. Hasil daripada rundingan tersebut,
Perjanjian Nanking telah ditandatangani pada 29 Pgos 1842. Syarat-syarat
perjanjian ialah :
1.
Hong Kong diserahkan kepada British.
2.
China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels, iaitu 12 juta taels
ganti rugi peperangan, 6 juta taels ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan
oleh China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British.
3.
Sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing dihapuskan.
4.
China membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow,
Ningpo dan Shanghai.
5.
Konsul British akan ditempatkan di setiap pelabuhan perjanjian.
6.
Pedagang-pedagang asing bebas berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan
perjanjian.
7.
Hubungan antara British dengan China akan dijalankan atas dasar sama taraf.
8.
Sistem cukai yang tetap dan adil akan dilaksanakan.
9.
Sebarang pindaan ke atas syarat perjanjian perlu dipersetujui oleh kedua-dua
pihak.
10.
Selepas perjanjian ini, sekiranya China memberi sebarang keistimewaan kepada
kuasa-kuasa lain, maka British berhak menikmatinya.
Kesan-kesan
1.
Merugikan China
Perjanjian Nanking yang ditandatangani
pada 29 Ogos 1842 amat merugikan pihak China. China bukan sahaja terpaksa
menyerahkan Hong Kong kepada British, malah dikehendaki membayar ganti rugi
sebanyak 21 juta taels kepada British, iaitu 12 juta taels untuk ganti rugi
peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh
pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British.
Selain itu, China juga terpaksa membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing,
iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.
2.
Menguntungkan British
Di pihak lain, Perjanjian Nanking amat
menguntungkan British. Pihak British bukan sahaja mandapat Hong Kong, malah
dibayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels yang terdiri daripada 12 juta taels
untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang
dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada
pedagang-pedagang British. Pada masa yang sama, pedagang-pedagang British juga
dibenarkan berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan yang dibuka untuk
pedagang asing iaitu Amoy, Foochow, Canton, Ningpo dan Shanghai. Di samping
itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta
tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya the dan sutera.
3.
Perjanjian
Perjanjian Nanking menandakan permulaan
kepada termeterainya perjanjian-perjanjian lain antara China dengan kuasa-kuasa
barat. Perjanjian Bogus ditandatangani pada 8 Oktober 1843 dengan British yang
diwakili oleh Henry Pottingger. Perjanjian Bogus menetapkan cukai import dan
eksport sebanyak 5%. Perjanian tersebut juga memberi keistimewaan-keistimewaan
tambahan kepada British seperti “Hak Wilayah Asingan” dan “layanan negara yang
diutamakan”. Perjanjian Wanghsia ditandatangani pada 3 Julai 1844 dengan
Amerika yang diwakili oleh Caleb Kushing. Perjanjian Wanghsia memberi
keistimewaan kepada Amerika seperti yang dinikmati oleh British. Perjanjian
Whampoa ditandatangani pada 24 Oktober 1844 dengan Perancis yang diwakili oleh
Theodore da Lagrini. Perjanjian tersebut memberi keistimewaan kepada Perancis
seperti yang dinikmati oleh British dan Amerika. Selain itu, Perancis juga
dibenarkan menyebarkan agama Kristian serta mendirikan gereja di
pelabuhan-pelabuhan perjanjian. Pada 20 Mac 1847, China menandatangani
perjanjian dengan Norway dan Sweden.
4.
Cohong
Perjanjian Nanking telah menamatkan
sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing. Pedagang-pedagang asing bebas
menjalankan perdagangan secara langsung dengan pihak China. Sebelum Perang
Candu, pedagang-pedagang asing terpaksa berdagang melalui cohong yang mempunyai
kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang,
menetapkan cukai dan sebagainya.
5.
Persamaan taraf
Buat pertama kalinya China terpaksa
menerima konsep persamaan taraf dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa barat.
Sebelum Perang Candu, orang-orang Cina menganggap negeri China sebagai “Middle
Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Orang-orang asing merupakan
Barbarian yang tidak bertamadun.
6.
Tidak menyelesaikan masalah
Perjanjian Nanking hanya menamatkan
peperangan antara British dengan China tetapi tidak menyelesaikan masalan dalam
hubungan antara mereka. Hubungan natara mereka tetap runcing sehingga
mengakibatkan perang yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang
Candu Kedua atau Perang Arrow.
7.
Candu
Orang-orang Cina mendakwa perjanjian
tersebut berlaku kerana masalah candu. Walau bagaimanapun dalam Perjanjian
Nanking, tidak terdapat syarat yang berkaitan dengan perdagangan Candu. Candu
terus dibawa masuk dengan kadar yang lebih banyak.
1843 – 33000 peti
1848 – 46000 peti
1850 – 52929 peti
Kemasukan candu menjejaskan China dari
segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan
dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan
telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir
keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport
barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada
Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan
akhlak kerana rakyat China telah menjadi penagih candu. Desakan China supaya
British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British untuk mematuhi
arahan China telah meruncingkan hubungan antara mereka.
8.
Perkembangan perdagangan
Pembukaan 5 pelabuhan China kepada
pedagang asing serta keistimewaan-keistimewaan yang diberi telah mengakibatkan
perkembangan perdagangan asing di China. Negeri China telah menjadi pasaran
barang-barang keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan
mentah terutamanya teh dan sutera. Perkembangan perdagangan terbukti daripada
pertambahan nilai eksport. Contohnya, eksport teh pada 1850 telah meningkat ₤100 juta.
9.
Krisis ekonomi
Perang Candu telah menyebabkan negeri
China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang
banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan
barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan.
Akibatnya, banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu
meruncingkan lagi masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi,
China telah marayu supaya British mengurangkan bayaran ganti rugi. Keengganan
British untuk berbuat demikian telah menjejaskan hubungan antara mereka.
10. Pengaruh barat
Pembukaan pelabuhan China kepada orang
asing telah mengakibatkan kemasukan pengaruh barat. Ramai rakyat China
terutamanya golongan muda di pelabuhan-pelabuhan perjanjian telah terpengaruh
dengan budaya barat. Selain itu, berlaku perkembangan agama Kristian di
pelabuhan-pelabuhan perjanjian.
11. Menjatuhkan maruah
Manchu
Buat pertama kalinya China telah
dikalahkan oleh kuasa-kuasa barat. Kekalahan ini telah menjatuhkan maruah
negeri China serta menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan
Dinasti Manchu. Kekalahan ini mendedahkan kelemahan Manchu sehingga
mengakibatkan bertambahnya gerakan anti-Manchu, terutamanya di wilayah selatan.
Antara gerakan anti-Manchu ialah Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan
Pemberontakan Muslim.
12. Permulaan
kepada bertapaknya kuasa asing
Perjanjian Nanking menandakan permulaan
kepada bertapaknya kuasa asing di China. Mengikut perjanjian ini, 5 pelabuhan
China dibuka kepada pedagang asing, iaitu Amoy, Ningpo, Shanghai, Foochow dan
Canton. Seterusnya dalam perjanjian Tientshin pada 26 Jun 1858, 11 lagi
pelabuhan China dibuka kepada perdagangan asing iaitu Newchwang, Tungchow,
Chefoo, Chinkiang, Hankow, Kiukiang, Swatow, Tainan, Tanshui, Kiungchow dan
Nanking.
13. Dasar isolasi
Selepas Perjanjian Nanking
ditandatangani, China terpaksa menamatkan dasar isolasinya yang diamalkan
selama ini. Sejak itu, China mula melaksanakan dasar buka pintu kepada
orang-orang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang.
14. Penghijrahan
Selepas Perang Candu, ramai rakyat China
mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan
rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi
memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Orang-orang sanggup berhijrah
kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk
melarikan diri daripada penderitaan di negeri China.
15. Pengajaran
Buat pertama kalinya China terpaksa
menerima hakikat bahawa kuasa-kuasa barat lebih superio daripada China.
Sarjana-sarjana China telah mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik
barat dalam usaha untuk menguatkan negeri China. Contohnya Wei Yuan dalam
bukunya “Hai Koa Tu Chih” mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik
barbarian dalam usaha untuk mengalahkan barbarian. Pendapat ini disokong oleh
sarjana-sarjana lain seperti Liang Ting Nan dalam bukunya “Ro Chung Kao Shuo”
dan “I Fen Chi Wan” dan Hsu Chi Yu dalam bukunya “Ying Huan Chih Luah”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan