TERANGKAN
MAKSUD MASYARAKAT INDUSTRI DAN CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND
Masyarakat
industri adalah masyarakat berasaskan industri. Pembentukan masyarakat industri
di England bermula selepas tercetusnya Revolusi Perindustrian. Masyarakat
industri menguasai ekonomi kapitalisme dan membentuk kelas sosial yang
ditentukan daripada pemilikan harta dan modal. Secara ringkasnya, masyarakat
industri merujuk kepada perubahan masyarakat pertanian kepada masyarakat
industri.
Ciri-ciri masyarakat industri di England ditentukan oleh kemajuan dalam masyarakat pertanian. Masyarakat
petani menggunakan sistem tanah berpagar menggantikan sistem tanah lapang.
Tujuan untuk memisahkan tanah milik individu. Sistem tanaman bergilir
diperkenalkan bagi membolehkan tanah pertanian diusahakan secara intensif.
Tanah diusahakan sepanjang tahun dengan tanaman bergilir dan pelbagai jenis.
Pertanian campuran dilaksanakan iaitu menggabungkan penternakan biri-biri dan
lembu serta menanam rumput dalam kawasan pertanian yg sama.
Ciri-ciri masyarakat industri juga merujuk kepada penggunaan teknologi dalam
pertanian. Robert Blakewell memperkenalkan kaedah baru yang mempercepatkan
proses pembesaran haiwan ternakan. Penggunaan jentera seperti alat penabur
benih oleh Jethro Tull. Penggunaan baja tiruan meningkatkan kesuburan tanah dan
meningkatkan hasil pertanian. Coke of Holkham perkenalkan cara tebus guna tanah
menggunakan sistem heavy-manuring iaitu menjadikan tanah berpasir sesuai untuk
tanaman gandum.
Ciri-ciri seterusnya ialah masyarakat industri terlibat dengan perdagangan
antarabangsa. England mengalami penghasilan pertambahan barangan dalam industri
pembuatan. Hal ini membawa kepada pengeksportan kain kapas dari England ke luar
negara ekoran keluaran melebihi permintaan tempatan. England turut memansuhkan
tarif import bahan mentah bagi membolehkan negara luar membeli barangan
siapnya.
Ciri-ciri lain masyarakat industri ialah perkembangan
dalam sektor perindustrian. Perindustrian
tekstil berkembang pesat dengan penggunaan mesin pemintal [spinning jenny] dan
mesin tenun yang menggunakan kuasa air. Perindustrian besi membawa kepada
kemajuan peleburan besi untuk menghasilkan besi tempa bagi membuat peralatan
mesin. Pada akhir abad ke-18, kuasa wap digunakan dalam industri untuk
mengendalikan jentera.
Ciri-ciri masyarakat industri di England juga berkaitan dengan kemajuan sistem
perhubungan dan komunikasi. Dasarnya, sistem perhubungan dimodenkan bagi
membolehkan hasil-hasil industri dibawa keluar dari pusat pengeluaran ke pusat
pengumpulan sebelum di pasarkan menerusi pelabuhan-pelabuhan utama di
England. Kemajuan dalam sistem pengangkutan seperti perkapalan, jalan
raya, kereta api dan terusan. Pada tahun 1802, kapal-kapal menggunakan enjin
kuasa wap. Terusan Worsley digunakan untuk membawa arang batu ke Manchester.
Landasan kereta api moden digunakan untuk menghubungkan lombong arang batu
Durham di Stockton dengan Darlington. Komunikasi dua hala seperti telegraf,
telefon, radio dan pos membantu masyarakat industri di England mengukuhkan
pasaran industri mereka dalam dan luar negara.
Ciri -ciri utama masyarakat industri di England ialah masyarakat Bandar.
Populasi masyarakat Bandar bertambah. Penduduk London bertambah
daripada 50 000 orang kepada 100 000 orang pada tahun 1800. Golongan muda
berhijrah ke Bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Berlaku perubahan
gaya hidup. Masyarakat Bandar lebih berdikari dan bersaing mengumpul aset dan
modal. Kehidupan bebas di Bandar telah membawa kepada masalah sosial yang
kritikal iaitu aktiviti pelacuran dan jenayah. Dianggarkan pada tahun 1840-an,
terdapat 7 000 hingga 8 000 orang pelacur di kota London dan menjelang abad
ke-19, terdapat hampir 80 000 orang pelacur di kota London [Gordon A. Craig,
1961:581 ]. Menurut Laporan Chadwick , keadaan kebersihan dan
kualiti kesihatan penduduk miskin bandar yang teruk menyumbang kepada
kadar kematian yang tinggi terhadap golongan tersebut. Akta Kesihatan Awam 1875
digubal untuk memperbaiki keadaan kesihatan masyarakat Bandar.
Selain itu, masyarakat industri juga memperlihatkan kewujudan kelas
sosial baharu. Muncul golongan pertengahan yang terdiri daripada pemilik
kilang, ahli kewangan, peguam dan jurutera. Golongan ini mula menuntut hak
dalam politik dari golongan feudal.
Ciri-ciri masyarakat industri juga merujuk kepada kelas pekerja. Buruh
dan pekerja kilang yang dibayar upah dengan tempoh bekerja selama 12 jam dan
enam hari seminggu. Terdapat penglibatan buruh wanita dan kanak-kanak
dalam sektor industri dan perlombongan utama. Pada tahun 1840-an, 6000
buruh wanita bekerja di lombong-lombong. Di Lancashire, lebih ¾ wanita yang
berkahwin bekerja di kilang tekstil. Buruh kanak-kanak diambil
bekerja di kilang dan lombong arang batu. Kebajikan buruh mula diberi perhatian
oleh kerajaan England, misalnya Akta lombong 1842 yang melarang wanita dan
kanak-kanak perempuan bekerja dalam sector perlombongan arang batu.
Ciri-ciri seterusnya masyarakat industri berkaitan dengan perubahan pemikiran
politik masyarakat. Idea – idea sosialis menyeru kerajaan supaya
memiliknegarakan semua kilang dan memajukan kebajikan rakyat. Tuntutan upah
yang tinggi, perumahan yang sempurna, pendidikan dan masa kerja dihadkan.
Masyarakat industri juga menuntut kerajaan membentuk masyarakat yang adil dalam
ekonomi.
Masyarakat industri di England mengeluarkan produk-produk perindustrian,
perkilangan dan pembuatan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Permintaan
yang tinggi terhadap keperluan revolusi industri di England dan lebihan
pengeluaran barangan menyebabkan England mengamalkan dasar imperialisme.