Jumaat, 26 Julai 2013

SEJARAH STPM : maksud masyarakat industri dan ciri-ciri masyarakat industri England




TERANGKAN MAKSUD MASYARAKAT INDUSTRI DAN CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND

Masyarakat industri adalah masyarakat berasaskan industri. Pembentukan masyarakat industri di England bermula selepas tercetusnya Revolusi Perindustrian. Masyarakat industri menguasai ekonomi kapitalisme dan membentuk kelas sosial yang ditentukan daripada pemilikan harta dan modal. Secara ringkasnya, masyarakat industri merujuk kepada perubahan masyarakat pertanian kepada masyarakat industri.

         Ciri-ciri masyarakat industri di England ditentukan oleh kemajuan dalam masyarakat pertanian. Masyarakat petani menggunakan sistem tanah berpagar menggantikan sistem tanah lapang. Tujuan untuk memisahkan tanah milik individu. Sistem tanaman bergilir diperkenalkan bagi membolehkan tanah pertanian diusahakan secara intensif. Tanah diusahakan sepanjang tahun dengan tanaman bergilir dan pelbagai jenis. Pertanian campuran dilaksanakan iaitu menggabungkan penternakan biri-biri dan lembu serta menanam rumput dalam kawasan pertanian yg sama.

         Ciri-ciri masyarakat industri juga merujuk kepada penggunaan teknologi dalam pertanian. Robert Blakewell memperkenalkan kaedah baru yang mempercepatkan proses pembesaran haiwan ternakan. Penggunaan jentera seperti alat penabur benih oleh Jethro Tull. Penggunaan baja tiruan meningkatkan kesuburan tanah dan meningkatkan hasil pertanian. Coke of Holkham perkenalkan cara tebus guna tanah menggunakan sistem heavy-manuring iaitu menjadikan tanah berpasir sesuai untuk tanaman gandum.

         Ciri-ciri seterusnya ialah masyarakat industri terlibat dengan perdagangan antarabangsa. England mengalami penghasilan pertambahan barangan dalam industri pembuatan. Hal ini membawa kepada pengeksportan kain kapas dari England ke luar negara ekoran keluaran melebihi permintaan tempatan. England turut memansuhkan tarif import bahan mentah bagi membolehkan negara luar membeli barangan siapnya.

         Ciri-ciri lain masyarakat industri ialah perkembangan dalam sektor perindustrian. Perindustrian tekstil berkembang pesat dengan penggunaan mesin pemintal [spinning jenny] dan mesin tenun yang menggunakan kuasa air. Perindustrian besi  membawa kepada kemajuan peleburan besi untuk menghasilkan besi tempa bagi membuat peralatan mesin. Pada akhir abad ke-18, kuasa wap digunakan dalam industri untuk mengendalikan jentera.
               
         Ciri-ciri masyarakat industri di England juga berkaitan dengan kemajuan sistem perhubungan dan komunikasi. Dasarnya, sistem perhubungan dimodenkan bagi membolehkan hasil-hasil industri dibawa keluar dari pusat pengeluaran ke pusat pengumpulan sebelum di pasarkan menerusi pelabuhan-pelabuhan utama di England.  Kemajuan dalam sistem pengangkutan seperti perkapalan, jalan raya, kereta api dan terusan. Pada tahun 1802, kapal-kapal menggunakan enjin kuasa wap. Terusan Worsley digunakan untuk membawa arang batu ke Manchester. Landasan kereta api moden digunakan untuk menghubungkan lombong arang batu Durham di Stockton dengan Darlington. Komunikasi dua hala seperti telegraf, telefon, radio dan pos membantu masyarakat industri di England mengukuhkan pasaran industri mereka dalam dan luar negara.

          Ciri -ciri utama masyarakat industri di England ialah masyarakat Bandar. Populasi masyarakat Bandar bertambah.  Penduduk London bertambah daripada 50 000 orang  kepada 100 000 orang pada tahun 1800. Golongan muda berhijrah ke Bandar untuk mencari peluang pekerjaan.  Berlaku perubahan gaya hidup. Masyarakat Bandar lebih berdikari dan bersaing mengumpul aset dan modal. Kehidupan bebas di Bandar telah membawa kepada masalah sosial yang kritikal iaitu aktiviti pelacuran dan jenayah. Dianggarkan pada tahun 1840-an, terdapat 7 000 hingga 8 000 orang pelacur di kota London dan menjelang abad ke-19, terdapat hampir 80 000 orang pelacur di kota London [Gordon A. Craig, 1961:581 ].  Menurut Laporan Chadwick , keadaan kebersihan dan kualiti  kesihatan penduduk miskin bandar yang teruk menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi terhadap golongan tersebut. Akta Kesihatan Awam 1875 digubal untuk memperbaiki keadaan kesihatan masyarakat Bandar.

         Selain itu,  masyarakat industri juga memperlihatkan kewujudan kelas sosial baharu. Muncul golongan pertengahan yang terdiri daripada pemilik kilang, ahli kewangan, peguam dan jurutera. Golongan ini mula menuntut hak dalam politik dari golongan feudal.
               
         Ciri-ciri masyarakat industri juga merujuk kepada kelas pekerja. Buruh dan pekerja kilang yang dibayar upah dengan tempoh bekerja selama 12 jam dan enam hari seminggu. Terdapat penglibatan  buruh wanita dan kanak-kanak dalam sektor industri dan perlombongan utama. Pada tahun  1840-an, 6000 buruh wanita bekerja di lombong-lombong. Di Lancashire, lebih ¾ wanita yang berkahwin bekerja di kilang tekstil.  Buruh kanak-kanak  diambil bekerja di kilang dan lombong arang batu. Kebajikan buruh mula diberi perhatian oleh kerajaan England, misalnya Akta lombong 1842 yang melarang wanita dan kanak-kanak perempuan bekerja dalam sector perlombongan arang batu.

          Ciri-ciri seterusnya masyarakat industri berkaitan dengan perubahan pemikiran politik masyarakat. Idea – idea sosialis menyeru kerajaan supaya memiliknegarakan semua kilang dan memajukan kebajikan rakyat. Tuntutan upah yang tinggi, perumahan yang sempurna, pendidikan dan masa kerja dihadkan. Masyarakat industri juga menuntut kerajaan membentuk masyarakat yang adil dalam ekonomi.

        Masyarakat industri di England mengeluarkan produk-produk perindustrian, perkilangan dan pembuatan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Permintaan yang tinggi terhadap keperluan revolusi industri di England dan lebihan pengeluaran barangan menyebabkan England mengamalkan dasar imperialisme.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan