Jumaat, 26 Julai 2013

definisi dan ciri-ciri masyarakat agraria di China abad ke-16 dan ke-17


Terangkan definisi masyarakat agraria dan ciri-ciri masyarakat agraria di china pada abad ke-16 dan ke-17

Masyarakat agraria ialah masyarakat berasaskan pertanian, penternakan, dan pemungutan hasil hutan dan sungai. Masyarakat agraria tinggal di kawasan  pedalaman termasuk kawasan-kawasan pertanian yang subur. Masyarakat agraria di China merupakan masyarakat petani yang bergantung sepenuhnya kepada ekonomi kendiri dan tidak bergantung kepada negara lain untuk memenuhi keperluan masyarakat tempatan. Pengamalan unsur-unsur mekantilisme oleh masyarakat agraria di China membantu perkembangan ekonomi agraria di China pada abad ke-16 hingga abad ke-17M. Terdapat ciri-ciri khusus dalam masyarakat agraria di China.

          Ciri-ciri utama masyarakat agraria di China ialah masyarakat petani. 85 % masyarakat petani China menetap di desa. Sebahagian besar masyarakat petani di China tertumpu di kawasan timur laut China dengan Mongolia iaitu dataran Loes yang subur dan di lalui oleh sungai kuning. Di sebelah selatan sungai kuning terletak kawasan tengah yang luas dan terdapat sungai yangtze iaitu sungai terbesar di China. Masyarakat petani China sangat bergantung kepada iklim untuk menjalankan ekonomi mereka. Iklim yang bersesuaian membolehkan masyarakat petani mengusahakan penanaman pelbagai jenis tanaman sepanjang tahun.
.
                  Ciri-ciri seterusnya ialah pemilikan tanah. Masyarakat agraria di China tidak memilik tanah pertanian. Tanah pertanian yang diusahakan adalah tanah milik golongan pembesar atau tuan tanah. Tanah menjadi lambang sosial dan merupakan aset berharga kepada masyarakat agraria di China. Penambahan dalam pengeluaran pertanian di tanah-tanah yang diusahakan akan akan meningkatkan lagi pendapatan golongan pembesar dan tuan tanah seterusnya meningkatkan  cukai maharaja China. Masyarakat petani di China menjalankan kegiatan pertanian secara bersama dan tidak melakukan secara individu selain itu tanah pertanian di usahakan dari satu generasi ke satu generasi.
        
         Selain itu, Masyarakat agraria di China sudah biasa menghadapi kebuluran dan penderitaan. mereka akan meneruskan kehidupan dengan melakukan pekerjaan seperti mencari hasil hutan atau menjual anak perempuan untuk dijadikan hamba. Rumah petani berdindingkan tanah liat dan berbumbungkan rumput, di dalamnya tiada tempat berdiang  ( alat pemanas). Pakaian masyarakat petani diperbuat daripada kain benang kapas dan makanan hanya secukup hidup sahaja. Masa lapang mereka pula dipenuhi dengan mengadakan jamuan dan berjudi.

        Ciri-ciri masyarakat agraria di China juga berkaitan dengan kegiatan ekonomi pertanian yang diamalkan. Tanaman utama masyarakat agraria ialah padi sawah. Penanaman padi ini diusahakan oleh masyarakat petani yang tinggal di lembah sungai Yangzte dan sungai Kuning. Selain itu, masyarakat agraria juga mengusahakan tanaman lain seperti kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi dan bijirin lain. Masyarakat petani yang tinggal di sekitar sungai Heilongjiang menanam padi huma, sekoi dan kekacang. Kegiatan perikanan darat diamalkan oleh masyarakat agraria di kawasan-kawasan sumber perikanan seperti di sungai-sungai utama China. Ekonomi penternakan pula dijalankan untuk menampung keperluan makanan seperti ternakan ayam, itik, dan  lembu daging.

       Masyarakat agraria di China juga terlibat dalam industri asas tani iaitu penternakan ulat sutera. Pusat bandar yang besar seperti Nanjing menyumbangkan pertumbuhan industri swasta. Khususnya industri berskala kecil seperti pengeluaran barang-barang kertas, sutera, kapas, dan porselin. Masyarakat agraria juga terlibat dalam kegitan pertukangan. Perusahaan pertukangan dijalankan secara perkongsian atau joint stock.

        Selain itu,  masyarakat agraria di China juga memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pertanian. Masyarakat agraria semasa era Dinasti Ming mengamalkan pertanian selingan antara musim-musim tanaman. Mereka menggunakan peralatan seperti sabit, cangkul dan penyisir tanah, selain menggunakan baja untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan mengekalkan kesuburan tanah. Masyarakat agraria  juga mengamalkan tanaman padi dua kali setahun di kawasan tanaman yang sama serta menanam tanaman baru seperti kentang manis, barli dan jagung.

         Semasa pemerintahan Dinasti Ching, masyarakat agraria di China mengamalkan pengkhususan dalam pengeluaran barangan mengikut daerah atau kawasan. Masyarakat petani di Kiangnan mengusahakan perusahaan kain sutera, kain kapas dan pakaian. Masyarakat petani di Chekiang dan Kiangsu mengusahakan teh dan daun mulberry untuk penternakan ulat sutera. Walaupun, petani menggunakan peralatan lama, tetapi hasil pengeluaran dapat ditingkatkan dan dapat memenuhi permintaan masyarakat tempatan kerana kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pertanian.

Ciri-ciri lain masyarakat agaria di China berkaitan dengan pemasaran pengeluaran hasil pertanian. Hasil pengeluaran digunakan untuk keperluan tempatan dan pasaran domestik. Masyarakat agraria semasa pemerintahan dinasti Ming mempunyai hubungan dagang dengan dengan Jepun, Lautan Hindi, Afrika Timur dan negara-negara Asia. Walau bagaimanapun, semasa era Dinasti Ching, masyarakat agraria yang mengutamakan pertanian sebagai sektor ekonomi utama telah mengkelaskan ekonomi perdagangan sebagai lapisan paling rendah dalam bidang ekonomi. Masyarakat pedagang dipandang hina walaupun memberikan keuntungan yang banyak kepada negara China.
                Pada zaman dinasti Ching, dasar isolasi diamalkan sepenuhnya. Urusan perdagangan dengan kuasa Barat hanya dilakukan di Canton sahaja. Keperluan masyarakat tempatan berjaya dipenuhi oleh produktiviti masyarakat agraria di China tanpa bergantung kepada sumber dari negara luar. Keadaan ini memberi tekanan kepada China kerana kuasa-kuasa Barat berusaha memecahkan dasar isolasi China sepenuhnya.

1 ulasan: